JALAN BERTURAP MUDAHKAN LALUAN KEPADA PENJUAL DADAH KE LUAR BANDAR


Lukanisman
Lukanisman

MIRI: Akses jalan raya berturap bukan hanya memberi manfaat kepada penduduk luar bandar, tetapi menjadi laluan mudah kepada ‘tokan dadah’ menjual syabu.
Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni mengakui ‘tokan dadah’ mula masuk ke kampung-kampung untuk menjual dadah kepada pelajar luar bandar.
“Saya menyedari terdapat masalah dadah dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan mereka dikesan positif dadah setelah saringan air kencing dilakukan.
“Walaupun bilangan positif kecil tetapi dikhuatiri berlaku peningkatan sekiranya tidak dibendung,” katanya kepada Utusan Borneo di sini.
Lukanisman berkata, ekoran harga dadah jenis syabu kini semakin murah dan mudah didapati maka pelajar tidak mempunyai masalah membeli barangan terlarang itu.
“Punca golongan pelajar mengambil dadah adalah terpengaruh dengan rakan sebaya dan ingin mencuba serta kurangnya kesedaran mengenai kesan buruk pengambilan dadah,” jelasnya.
Pada masa sama, pujukan rakan sebaya serta rasa tidak mahu jatuh ‘air muka’ apabila dicabar menjadi punca utama pelajar terbabit mengambil dadah.
“Di kawasan bandar keadaan turut membimbangkan dan saya turut menahan pelajar sedang mengambil ganja di kawasan Taman Tunku dan menyerahkan mereka kepada ibu bapa masing-masing untuk diberi kaunseling,” katanya.
Lukanisman menarik perhatian bahawa masalah dadah perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dan masyarakat perlu peka dengan isu dadah di kawasan mereka.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) juga telah melakukan operasi khas bagi menangkap penagih dikenal pasti malah bagi daerah Subis, jawatankuasa ‘One Stop Comittee’ ditubuh untuk menangani masalah dadah.
“AADK juga menjalankan aktiviti melatih sukarelawan bagi membantu agensi terbabit mengenal pasti masalah dadah di kawasan setempat.
“Sekiranya ketagihan dadah tidak terkawal serahkan anak-anak dan rakan anda kepada AADK untuk mendapat rawatan,” katanya.
Dadah adalah punca kepada masalah sosial lebih kritikal seperti mencuri, keruntuhan rumah tangga dan jenayah lain.

Sumber:Utusan Borneo

Iklan Atas Artikel

Iklan Tengah Artikel 1

Iklan Tengah Artikel 2

Iklan Bawah Artikel